Murid autisme tidak menyangka peroleh 5A
01 Disember 2014 12:16 AM
MUHAMMAD SYAHMI ASYRAFF SAMSUL MUARIFF didukung
rakan-rakannya selepas mendapat keputusan 5A dalam UPSR di Sekolah Kebangsaan
Seri Budiman II, Kuala Terengganu, baru-baru ini.
KUALA TERENGGANU 30 Nov. – Hampir setiap hari,
sebelum Muhammad Syahmi Asyraff Samsul Muariff, pergi ke sekolah dan selepas
pulang, Hayani Zakaria, 48, menemankan dan membantu anak bongsunya itu
mengulang kaji pelajaran.
Bekas kakitangan sebuah bank yang berhenti kerja
demi memberi tumpuan sepenuhnya kepada anak-anak sedar tanpa perhatian
sepenuhnya dan kasih sayang, Asyraff yang menghidap autisme mungkin tercicir
berbanding murid lain.
Muhammad Syami yang murid Sekolah Kebangsaan (SK)
Seri Budiman II di sini menghadiahkan ibunya dan keluarga dengan pencapaian 5A
dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).
“Muhammad Syahmi disahkan menghidap autisme ketika
berusia lima tahun lagi yang menyebabkan pertuturannya terbatas dan perangai
agak berbeza dengan kanak-kanak sebaya lain.
“Dia cenderung pada mata pelajaran berkaitan Sains
dan Matematik, malah penguasaan dan daya ingatannya begitu bagus,” kata ibu
kepada dua orang anak itu ketika ditemui selepas menemankan Syahmi mendapatkan
keputusan peperiksaan tersebut baru-baru ini.
Muhammad Syahmi Asyraff dan Muhammad Fakhruddin
Abdul Razak (calon rabun) dari SK Sungai Lerek di Setiu merupakan dua daripada
163 calon berkeperluan khas di negeri ini yang mendapat semua A dalam
peperiksaan tersebut.
Menurut Hayani, Muhammad Syahmi telah dirujuk kepada
pakar psikiatri selama setahun berikutan masalah pertuturan dan kemudian
ditempatkan di prasekolah pendidikan khas SK Seri Budiman II sebelum memulakan
persekolahan darjah satu di kelas harian biasa sekolah tersebut.
Katanya, kemampuan Syahmi dalam bidang akademik mula
terserlah ketika di tahun tiga kerana sebelum itu anaknya masih dalam proses
membiasakan diri dengan alam persekolahan dan kawan-kawan.
Sementara itu, Syahmi menganggap kejayaan tersebut
sebagai hadiah buat keluarga terutama ibu yang banyak membantu menemaninya
belajar selama ini.
“Terima kasih untuk keluarga dan cikgu. Saya
bercita-cita menjadi angkasawan. Selepas ini saya merancang untuk bersekolah di
Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Abdul Malek,” katanya yang
gemar mengumpul replika kapal terbang.
No comments:
Post a Comment