Monday, 1 December 2014

Arkib Negara perkenal ‘arkib alam maya’




Arkib Negara perkenal ‘arkib alam maya’
02 Disember 2014 1:46 AM


MOHAMAD ZABIDI Zainal (dua dari kanan) melawat pameran selepas perasmian Hari Arkib Ke-57 dan Pelancaran Pameran Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Auditorium Pusat Pendokumentasian dan Pemeliharaan Audio Visual Negara (PPPAV), Arkib Negara Malaysia di Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN


KUALA LUMPUR 1 Dis. – Dalam usaha memperkasa pengetahuan sejarah negara dalam kalangan masyarakat, Arkib Negara mengorak setapak ke hadapan dengan melancarkan sebuah ‘arkib alam maya’, Online Finding Aids (OFA) selari dengan teknologi moden masa kini.
Pengarahnya, Azemi Abdul Aziz berkata, sistem ini membolehkan semua capaian bahan arkib diakses oleh segenap lapisan masyarakat tanpa had masa dan tempat.
Katanya, penyelidik tempatan dan luar negara kini boleh terus menggunakan OFA semasa melayari laman web Arkib Negara pada bila-bila masa.
“Sistem ini adalah di bawah program My Creative Content dan mendapat peruntukan daripada Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) yang membantu kita untuk mendigitalkan bahan arkib.
“Ini adalah usaha Arkib Negara menyahut saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam memudahkan rakyat mencari bahan penyelidikan tanpa perlu ke arkib sekali gus membolehkan bahan itu disebarkan ke seluruh negara melalui teknologi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Hari Arkib Ke-57 dan Pelancaran Pameran Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik di sini hari ini.
Yang turut hadir, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Mohamad Zabidi Zainal; Presiden Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik, Tan Sri Sallehuddin Mohamed dan Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Dr. Ong Hong Peng.
Dalam perkembangan lain, Azemi berkata, pihaknya bercadang mewujudkan Pustaka Perkhidmatan Awam berhampiran Tugu Negara yang dijangka dapat menarik lebih ramai pelawat kerana kawasan tersebut merupakan pusat tumpuan pelancong.
Katanya, pihaknya dengan kerjasama Persatuan Alumni Pegawai Tadbir dan Diplomatik memohon agar kerajaan dapat mempertimbangkan cadangan tersebut supaya dapat menyebar luas kepentingan sejarah negara demi pembangunan generasi satu Malaysia.
“Pustaka Perkhidmatan Awam itu nanti boleh menambah nilai aspek pelancongan sedia ada se­perti Tugu Negara dan memberikan nafas ilmu bagi menyemarakkan pengetahuan masyarakat agar lebih prihatin kepada bangsa dan sejarah pembangunannya.
“Inilah amanah yang dipertanggungjawabkan kepada Arkib Negara Malaysia untuk memperoleh, menyimpan, memelihara dan menyediakan rujukan kepada rekod-rekod serta bahan arkib,” katanya.


No comments:

Post a Comment