Kempen Bumi Hijau di semua Sekolah Pendidikan Khas
Mohamed Saari | 23 November 2014 1:00 AM
http://www.utusan.com.my/berita/wilayah/johor/kempen-bumi-hijau-di-semua-sekolah-pendidikan-khas-1.27924
Murid-murid Pendidikan Khas dari 42 sekolah daerah Segamat bergambar kenangan selepas dibawa melawat ladang pertanian salah seorang penduduk di Kampung Spang Loi, Segamat, Johor, kelmarin. – Mingguan/Mohamed Saari
SEGAMAT 22 Nov. - Pada tahun depan kesemua 42 sekolah yang mempunyai kelas pendidikan khas di daerah ini akan melaksanakan Kempen Bumi Hijau Di Sekolah dengan cara menjalankan aktiviti becucuk tanam.
Pegawai Pendidikan Khas dan Pemulihan Segamat, Masnawi Shamsuddin berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak 12 buah sekolah merupakan sekolah menengah manakala 30 lagi adalah sekolah rendah.
“Objektif utama kempen ini untuk membina keyakinan dan kemahiran pelajar pendidikan khas bagi membolehkan mereka menguruskan diri dengan bertani selepas tamat persekolahan tanpa mengharapkan bantuan orang lain.
“Pada masa sama, kami akan membuat penilaian bagi memilih sekolah terbaik melaksanakan kempen ini bermula April hingga Jun tahun depan,” katanya semasa melancarkan kempen berkenaan di Balai Raya Kampung Spang Loi, dekat sini semalam.
Yang turut hadir, Penolong Pegawai Pertanian Segamat, Ibrahim Siman; Ketua Kampung Spang Loi, Jamaluddin Atan dan wakil rasmi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Buloh Kasap, Mohd. Nazirul Ramli.
Masnawi berkata, jenis dan cara penanaman terpulang kepada pelatih sama ada mengusahakan tanaman di atas tanah atau menggunakan beg plastik dan Jabatan Pertanian daerah akan memberi khidmat nasihat kepada mereka.
“Para pelatih akan dibawa melawat ladang pertanian yang diusahakan penduduk di Spang Loi untuk dijadikan sebagai model pertanian mereka dan kami sebenarnya mahu mempelbagaikan bakat mereka termasuk kemahiran bertani,” katanya.
No comments:
Post a Comment